Sebuah keluarga yang sejahtera memiliki hubungan yang serasi dan seimbang antara ahlinya, saling memberi dan menerima, selain setiap perbezaan diterima dengan hati terbuka, manakala kelemahan yang timbul pula diatasi secara bersama. Menurut YAB Perdana Menteri Malaysia Dato' Sri Ismail Sabri, konsep Keluarga Malaysia itu menggambarkan keutuhan negara yang terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sebuah keluarga, selain frasa (Keluarga Malaysia) itu disifatkan lebih inklusif kerana merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

Konsep itu menggariskan tiga teras utama iaitu iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

“Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, manakala batang dan ranting menjulang kukuh nilai-nilai Keluarga Malaysia yang kemudiannya membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur, dan inayatnya memanfaatkan rakyat,” katanya.