SEJARAH KUALA LIPIS, PAHANG

 

 

Kuala Lipis dahulunya dikenali sebagai pusat perlombongan emas sebelum penjajahan British tiba pada 1887. Pada 1898, ia menjadi ibu negeri Pahang sehingga 1953. Pada zaman ini, bangunan penjajah utama, seperti Pejabat Daerah dan SMK Clifford yang pernah mendidik tokoh negara, tersergam indah dan Pahang Club telah dibina. Rumah Residen British di atas bukit sekarang ini menjadi hotel dan muzium. Bandar ini membangun dan maju selepas pembinaan landasan kereta api pada 1924. Walau bagaimanapun, pada 1953, ibu negeri telah berpindah ke Kuantan dan Kuala Lipis tidak lagi pesat membangun. Ia sekarang menjadi peringatan zaman silam. Namun demikian, beberapa institusi pendidikan baru seperti Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan dan Maktab Rendah Sains Mara telah dibina..

 

Sebuah bandar baru di seberang Sungai Jelai sudah dibina dan mula beroperasi. Kuala Lipis juga merupakan daerah Parlimen Allayarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia kedua, bapa kepada Perdana Menteri Malaysia kini, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

SEJARAH DAN MUKIM KAMPUNG

 

Mukim Penjom dan Kampung Pagar

 

Kampung Pagar adalah sebuah kampung yang tertua di dalam Mukim Penjom. Kampung Pagar dibuka oleh orang keturunan asli beratus-ratus tahun yang lalu dan tempat ini dikenali sebagai Penjom.

 

Pada kurun ke-15, kampung ini telah jatuh ke tangan orang Melayu yang bernama Tok Diyung dari Perak, berasal dari Bukit Seguntang, Bugis, Sumatera. Beliau mengalahkan puak orang Asli dengan menggunakan ilmu kebatinan.

 

Tempat ini dikenali sebagai Penjom mengikut nama yang diberi oleh orang Asli iaitu dari perkataan 'penyu'. Kawasan ini semakin hari semakin ramai penduduknya. Disebabkan kawasan ini selalu diancam oleh binatang buas, maka penduduknya berpakat untuk membuat pagar dengan menggunakan batang-batang kayu yang ditanam rapat dengan ketinggian 10 kaki. Daripada peristiwa itu, kampung ini dinamakan Kampung Pagar.

 

Pada kurun ke 17, Kampung Pagar menjadi tumpuan peniaga-peniaga dari merata tempat untuk berniaga dan menjadi pusat perniagaan di kawasan ini.

 

Pemerintahan (Ketua Kampung) bertukar ganti daripada Tok Diyung, Tok Mempian, Tok Malik, Tok Endik, Tok Yusof, Mukim Tom (Abu Bakar bin Yusof), Imam Pein bin Imam Junid, Idris bin Mukim Tom, Hj Kamaludin Bin Imam Pein, Baharuddin bin Idris dan sekarang Abdul Khalid bin Abdul Manan.

 

Pada tahun 1970, banjir besar telah melanda Kampung Pagar. Semua penduduk dipindahkan ke kawasan selamat. Atas daya usaha seorang anak tempatan, Tun Ghazali bin Shafee, kawasan tersebut dijadikan kawasan perumahan yang dikenali sebagai Rancangan Penempatan Semula Banjir Kampung Pagar atau RPSB Kampung Pagar.