Korang perasan tak, takbir raya dekat negara kita dialunkan dengan irama mendayu-dayu dan sangat syahdu.
Padahal di negara Arab, takbir raya dilaungkan dengan penuh semangat sebagai simbolik kemenangan umat Islam menyempurnakan puasa.
Persoalannya sekarang kenapa takbir raya di negara kita mendayu-dayu, adakah kerana kita merupakan bangsa yang gemar bermain emosi?
Sebenarnya takbir raya mendayu-dayu yang menjadi trademark di negara kita ini berasal daripada alunan taranum jiharkah.
Kepulauan Melayu dikatakan telah terdedah dengan beberapa jenis alunan taranum sejak abad ke-7 iaitu ketika Kekhalifahan Umayyah memegang tampuk pemerintahan dunia Islam.
Salah satu alunan taranum tersebut adalah taranum jiharkah yang berasal daripada Parsi dan telah diubahsuai oleh qari-qari dari Hijjaz mengikut budaya setempat. Bermula dari situ, taranum jiharkah telah digunakan sebagai salah satu alunan untuk membaca Al-Quran
Secara asasnya taranum jiharkah memang dikenali sebagai alunan yang sangat sinonim dengan sifat mendayu-dayu dan sedih. Kebiasaannya, taranum jiharkah akan dialunkan ketika membaca ayat-ayat yang menceritakan perihal hari kiamat, rintihan dan doa.
Penggunaan taranum jiharkah yang lembut, menusuk kalbu dan tenang pasti boleh memberikan kesan emosi yang mendalam buat kita ketika mendengar.
Senang cerita elemen mendayu-dayu dalam taranum jiharkah inilah yang mempengaruhi alunan takbir raya kita sehingga menjadi sayu dan sedih. Jadi selepas ini jika ada yang cuba membandingkan antara takbir Kepulauan Melayu dan negara Arab, cakap je kita alunkan takbir menggunakan tarannum jiharkah.
Tak salah pun nak alunkan takbir secara mendayu-dayu kerana taranum jiharkah merupakan salah satu jenis taranum yang digunakan untuk membaca Al-Quran.
Oleh Azmil Azali
Sumber: The Patriots Asia