Taman Eko-Rimba (TER) Terenggun terletak sekitar 9 km dari Bandar Kuala Lipis di
Jalan Kuala Lipis–Gua Musang dan merupakan sebahagian daripada Kompartment
1, Hutan Simpan Terenggun di daerah Lipis. Kawasan seluas 0.23 km ini terdiri
daripada hutan hujan tropika tanah rendah. Kawasan ini pernah dibina empangan
untuk bekalan air dan alur sungai asal pernah dilombong emas dan kini telah
menjadi tasik yang menghasilkan landskap pemandangan indah sesuai sebagai
kawasan rekreasi. Tarikan utama di sini ialah pemandangan tasik yang tenang dan
jernih seperti cermin, dan tasik kedua yang dipenuhi dengan bunga teratai
menambah keindahan tasik. Aktiviti utama pelawat di sini ialah berjogging,
berkelah dan menikmati keindahan tasik. Prasarana yang disediakan ialah pondok
rehat, rintis simen untuk pelawat mengelilingi tasik, tempat letak kereta, dan
tandas. Namun, prasarana di sini telah terabai dan tidak diselenggara semenjak
pandemik Covid-19. Oleh kerana lokasi yang hampir dengan Bandar Lipis, tempat
ini mempunyai potensi untuk dimajukan semula.

Sumber: Lipis Geopark