KUANTAN, 27 JUN 2024: Kesemua baki 125 menara telekomunikasi daripada keseluruhan 270 menara di bawah pelan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) di negeri ini dijangka siap dan dapat beroperasi sepenuhnya pada hujung tahun ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata setakat ini 145 menara telekomunikasi telah beroperasi sepenuhnya dengan liputan 4G.

“Setakat ini, saya juga telah menyatakan kepada pihak-pihak berkepentingan, khususnya pihak telco untuk segera menyiapkan dan merangkaikan menara-menara komunikasi ini dengan rangkaian 4G.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal

“Saya memberi tempoh masa sehingga penghujung tahun ini untuk menara ini siap dan beroperasi sepenuhnya serta dirangkaikan dengan perkhidmatan 4G, sekaligus memberi manfaat kepada rakyat berkait dengan pelaksanaan inisiatif 5G,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Perlaksanaan dan Pematuhan Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I) Peringkat Negeri Pahang yang diadakan di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan.

Turut hadir, Pengarah Negeri, MCMC Pejabat Negeri Pahang, YBhg. Encik Shahrizal Husin; Pengarah Pembangunan Koridor Utiliti Pahang (KUP), YBrs. Ir. Ts. Mohd Sably Abdul Latiff; Ketua-ketua Jabatan; dan wakil syarikat telekomunikasi utama termasuk Celcom Axiata Berhad, DIGI Telecommunications Sdn. Bhd., dan UMOBILE.

Menurut beliau, sebanyak 98 menara baharu telah dibina sejak 2022 di atas tanah kerajaan negeri bagi memperluas rangkaian komunikasi di negeri ini selain mengadakan lawatan bersama pihak berkenaan untuk memahami permasalahan di lapangan yang memerlukan campur tangan kerajaan negeri.

“Untuk fasa berikutnya, saya minta pihak Digital Nasional Berhad (DNB) memberi tumpuan kepada kawasan di Pahang Barat seperti Raub, Lipis, Cameron Highlands, dan Bentong agar lebih banyak pemasangan 5G dapat dibuat.

“Ini adalah untuk memastikan pembangunan seimbang di seluruh Pahang, termasuk dalam pembangunan infrastruktur komunikasi itu sendiri,” katanya.

Beliau turut melahirkan harapan, seminar ini dapat menjadi platform untuk dialog dan perkongsian pendapat demi pembangunan infrastruktur komunikasi di Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

 

Oleh: Ain Nadhirah Basha & Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang