KEMAJUAN KAMPUNG PAGAR

Sebaik saja Muhamad Ali Jaafar mengambil alih Kawasan kampung Pagar daripada Batin Gedemang, berpindahlah kaum kerabatnya di Lubuk Yong ke perkampungan baru ini. Oleh kerana Harimau berkeliaran sebelah malam, berpakatlah mereka memagar kawasan rumah mereka dengan kayu. Kerja buat bertani dijalankan untuk meneruskan kehidupan di situ.

Setelah agak berusia, urustadbir kampung Pagar itu diserahkan kepada Embong Pian. Menjadilah ketua kampung kedua Embong Pian di kawasan itu. Selain Bertani, Embong Pian menggalakkan kaum keluarganya mencari emas di kawasan itu hingga ke Budu. Lama kelamaan kampung Pagar menjadi terkenal sebagai pusat perdagangan darat dengan Sungai Lipis menjadi jalan perdagangan utama.

Akan Ngah Endik menguruskan hal ehwal keagamaan dan penyebaran agama Islam. Adiknya Maimunah kekal di Pagar sementara Tok Cik Bongsu dikahwinkan dengan Tok Kaya Ibrahim, Orang Kaya Lipis ke-8. Dia berpindah ke Terab Budu.

Apabila Embong Pian meninggal dunia, jenazahnya dikebumikan di sisi masjid Kampung Pagar. Jawatan ketua kampung Pagar disandang oleh Ngah Endik. Sesudah Ngah Endik meninggal dunia, naiklah cucunya bernama Imam Malek menjadi ketua kampung.

Sewaktu Imam Malek menjadi ketua kampung ini, sudah padatlah penduduk di kampung Pagar itu. Waktu itu sekitar akhiran 1640-an.  Di sebelah hilir kampung Pagar berhampiran muara Sungai Lipis,   Tok Kaya Bandu Sulaiman ini, petempatan penduduk di Kuala Sungai Rengai dibuka.  Pembukaan ini kemudiannya memberi ruang kepada anaknya Tun Enda dan keturunannya membuka kampung sehingga ke Kemesar.  Di Budu, Tok Kaya Chandak dan Tok De Abdul Rahman sudah mengajak anak buahnya meneroka kawasan Sega hingga ke Batu Talam untuk dijadikan perkampungan baru. Demikian juga anak buah Imam Malek berkira-kira untuk mudik di Sungai Lipis mencari tapak baru untuk perkampungan. Antara mereka ialah Imam Mat Amin bin Imam Malek.

Apabila Imam Malek meninggal dunia, jenazahnya dikebumikan di sisi masjid kampung Pagar. Jawatan ketua kampung disandang oleh Tok Yusuf. Sesudah itu naik pula Mukim Tong (Abu Bakar bin Yusof), Imam Pein bin Imam Junid, Idris bin Mukim Tong, Hj Kamaludin Bin Imam Pein, Baharuddin bin Idris dan Abdul Khalid bin Abdul Manan mentadbir Kampung Pagar.

Oleh kerana kawasan Kampung Pagar itu agak pamah, selalulah kawasan kampung itu dilanda banjir. Sewaktu Tok Kaya Teh memindahkan pusat pentadbiran Orang Kaya Lipis dari Budu ke Penjom sekitar 1840-an, penambang Kampung Pagar menjadi pusat perdagangan sungai yang aktif. Namun pada sekitar tahun 1926, berlaku banjir besar. Penduduk kampung itu ramai yang bergerak ke kawasan lebih tinggi di Penjom. Pada tahun 1970, banjir besar sekali lagi melanda Kampung Pagar.  Banyak rumah dan ternakan dihanyutkan banjir besar itu. Atas daya usaha seorang anak tempatan, Tun Ghazali bin Shafee, semua penduduk dipindahkan ke kawasan selamat.  Kawasan tersebut dijadikan kawasan perumahan yang dikenali sebagai Rancangan Penempatan Semula Banjir Kampung Pagar. Kampung Pagar yang asal secara perlahan-lahan ditinggalkan sebagai tempat kediaman dan dijadikan kawasan pertanian sahaja. Gambar Tun Mohd Ghazali Shafie, semasa baru bergelar Ahli Parlimen Lipis.

~Catatan: Pak Chu@ Kas Hasanuddin~