Berikut ialah norma baharu perkhidmatan di klinik kesihatan. Norma baharu ini bertujuan untuk mencegah penularan COVID-19 dalam komuniti terutama di klinik kesihatan dan golongan yang berisiko.

Semoga kita sama-sama dapat mengadaptasi norma baharu ini demi memutuskan rantaian COVID-19 dalam komuniti.

 

 

 

 

 

 

 

Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti yang telah dijangkiti.

Terdapat empat (4) jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi (DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4).

Jangkitan oleh salah satu jenis virus akan memberikan imuniti terhadap virus jenis itu sahaja, jika individu tinggal di kawasan jangkitan denggi, mereka boleh di jangkiti lebih dari sekali seumur hidupnya.

Bagaimanakah untuk mengetahui saya berkemungkinan menghidap demam denggi?

Pesakit akan mengalami tanda-tanda dan gejala selepas 5-6 hari gigitan nyamuk seperti:

  • -Demam panas
  • -Sakit kepala
  • -Sakit tulang belakang
  • -Sakit sendi-sendi
  • -Loya dan muntah-muntah
  • -Sakit biji mata
  • -Ruam

Apakah yang akan terjadi sekiranya saya tidak mendapatkan rawatan?

-Demam denggi terdiri daripada demam denggi biasa atau demam denggi berdarah yang boleh membawa maut.

-Demam denggi berdarah mempunyai tanda-tanda di atas dan juga pendarahan seperti:

  • -Mudah lebam
  • -Pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi
  • -Ia boleh diikuti dengan pendarahan seluruh badan yang juga membawa maut

Apakah rawatan untuk demam denggi?

Masih tiada rawatan khas untuk demam denggi. Pesakit yang mengalami tanda-tanda dan menunjukkan gejala-gejala demam denggi hendaklah mendapatkan rawatan segera. Pesakit akan diberikan ubat demam dan dinasihatkan berehat serta digalakkan minum air. Pesakit akan dimasukkan ke dalam wad sekiranya disyaki menghidap demam denggi berdarah.

Apakah perlu saya lakukan untuk mencegah demam denggi?

Terdapat pelbagai jenis cara untuk mencegah demam denggi :

  1. -Memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk
    • -Membuang bekas yang boleh menakung air
    • -Pastikan tangki air, bekas tadahan hujan seharusnya ditutup
    • -Pastikan pasu-pasu bunga dan bekas tadahan dibuang airnya sekurang-kurangnya seminggu sekali
    • -Pastikan saliran atap sentiasa mengalir
    • -Membela ikan di dalam kolam ikan untuk mengurangkan jentik-jentik
  2. -Menggunakan semburan serangga untuk membunuh nyamuk
  3. -Mengambil langkah-langkah melindungi diri untuk mengelakkan gigitan nyamuk seperti
    • -Pastikan tingkap dan pintu sentiasa ditutup
    • -Sapukan ubat penghalau nyamuk pada anggota terdedah kepada gigitan nyamuk
    • -Memakai baju berwarna cerah dan berlengan panjang dan seluar panjang sewaktu keluar rumah
    • -Pasangkan ubat lingkaran nyamuk dan ubat nyamuk elektrik di kawasan tertutup

 

 

PENYAKIT POLIO

 

Pengenalan

Polio atau poliomyelitis adalah akibat jangkitan virus polio yang merosakkan sistem saraf pusat. Virus polio lazimnya menjangkiti kanak-kanak bawah 5 tahun yang belum mendapat pelalian. Walau bagaimanapun virus ini boleh menjangkiti orang dewasa.

Virus liar polio (wild polio virus – WPV) masih endemik di tiga buah negara (Afghanistan, Pakistan dan Nigeria). Beberapa buah negara lain juga dijangkiti virus ini kerana pergerakan manusia. Selagi terdapat negara yang menyebarkan WPV, semua negara masih berisiko dijangkiti.

Agen penyebab: Poliovirus jenis 1, 2 dan 3 (genus Enteroviruses). WPV jenis 2 telah dibasmi semenjak tahun 1988.

Cara jangkitan: Jangkitan berlaku dari orang ke orang melalui transmisi faecal-oral. Ini bermaksud kontaminasi dengan najis dari individu yang dijangkiti. Namun, wabak polio jarang berlaku disebabkan oleh makanan atau air yang tercemar kerana 95% kes yang dijangkiti tidak akan mengalami gejala.

Jangkitan virus polio biasanya berlaku dalam saluran gastrousus (GI) dan merebak ke kelenjar limfa setempat. Dalam kes tertentu ia merebak ke sistem saraf pusat.

Tempoh pengeraman: 7 hingga 14 hari sebelum gejala timbul. Ia boleh berlaku seawal 3 hari.

Tanda dan Gejala

Seramai 95% kes tidak menunjukkan gejala dan tubuh membentuk antibodi memberi perlindungan sepanjang hayat. Manakala 5% lagi menunjukkan tanda dan gejala selesema dan kemudiannya pulih semula. Kurang dari 1% kes yang dijangkiti virus polio menyebabkan penyakit lumpuh yang menjejaskan sistem saraf.

Tanda dan gejala ringan yang terdapat dalam 5% pesakit yang dijangkiti adalah demam, malaise (letih dan lesu), sakit kepala, loya dan muntah.

Pesakit boleh menjadi lumpuh sekiranya virus ini menyerang sistem saraf pusat. Pesakit akan mengalami sakit otot dan kaku di bahagian leher dan belakang. Lumpuh biasanya tidak simetri (bukan pada kedua-dua belah anggota) dan pesakit mengalami demam sebelum lumpuh peringkat awal. Kaki lebih kerap terjejas berbanding tangan.

Komplikasi

Otot pernafasan dan/atau otot menelan menjadi lumpuh sehingga boleh mengancam nyawa. Kelumpuhan anggota badan adalah kekal.

Rawatan

Tiada rawatan khusus. Rawatan diberikan semasa fasa akut sehingga ke peringkat komplikasi lumpuh. Peralatan pernafasan diperlukan bagi pesakit yang mengalami kelumpuhan otot pernafasan.

Terapi fizikal dilakukan untuk memaksimumkan fungsi otot selepas menjadi lumpuh bagi mencegah kecacatan lain yang muncul lewat.

Pelalian Pencegahan

Jenis vaksin: terdapat dua jenis vaksin polio iaitu Oral Polio Vaccine (OPV) yang dititiskan ke dalam mulut dan Inactivated Polio vaccine (IPV) yang diberi secara  suntikan.

Bilangan dos: 3 dos prime dan 1 dos tambahan.

Jadual: diberi ketika berumur 2, 3, dan 5 bulan dengan dos tambahan pada umur 18 bulan (Jadual Imunisasi Kebangsaan di Malaysia).

Kontraindikasi: Tiada

Pengembara: Mereka yang hendak mengembara ke negara yang endemik atau sedang mengalami jangkitan WPV, dinasihatkan untuk mendapatkan pelalian polio selewat-lewatnya 4 minggu sebelum berlepas.

Langkah berjaga-jaga khusus: Individu yang mempunyai sistem imuniti yang rendah (immunocompromised) hendaklah mengambil vaksin IPV. Vaksin OPV yang mengandungi virus polio yang dinyahaktifkan boleh bertukar menjadi aktif dan menyebabkan penyakit kepada mereka yang immunocompromised ini.

Panduan mencegah jangkitan:

  • Basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas.
  • Pastikan sanitari baik, gunakan tandas dengan sistem kumbahan yang baik.
  • Didihkan air minuman atau minum air yang dibotolkan atau air berkarbonat. (pastikan pembalut penutup botol tidak rosak).
  • Makan makanan yang tidak memerlukan banyak pengendalian. Kupas kulit buah-buahan. Elakkan salad atau ulam-ulaman (sayuran yang tidak dimasak).
  • Memakan hidangan bufet sebaik sahaja dihidang.
  • Elakkan makan makanan berbungkus yang dijual di tepi jalan.
Penyakit HFMD mudah menjangkiti orang lain terutamanya kanak-kanak di premis tempat tumpuan mereka seperti taska dan tadika. Bilangan kes HFMD dijangka akan terus meningkat kerana kesedaran dan keprihatinan ibu bapa membawa anak yang mengalami gejala HFMD berjumpa pengamal perubatan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan. Ini menyebabkan peningkatan kes kerana HFMD adalah penyakit yang perlu dinotifikasikan kepada pihak kesihatan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Bagi tahun 2018, sehingga hari ini tiada kematian disebabkan HFMD atau enterovirus 71 (EV71) dilaporkan di Malaysia. 
 

Pihak KKM ingin mengingatkan orang ramai, khususnya ibu bapa, pengusaha taska/tadika/pra-sekolah serta pihak sekolah terlibat untuk:

  1. tidak membawa anak yang dijangkiti HFMD ke tempat-tempat awam / sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan;
  2. bawalah anak ke fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya menunjukkan gejala HFMD.
  3. sentiasa mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh / merawat lepuh;
  4. membersihkan alatan mainan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak serta lantai rumah termasuk tandas dengan menggunakan larutan campuran kloroks;
  5. memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul; dan
  6. membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum masuk ke kelas.